Keputusan SPM 2024: 14K Calon Semua A, Check Result Di Sini

Terkini! Keputusan SPM 2024 diumumkan pagi ini, dengan mencatatkan seramai 14,179 calon memperolehi semua A.

Malahan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan keputusan tahun 2024 ini merupakan yang terbaik sejak 2013.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, sebanyak 14,179 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, iaitu 3.7% daripada 378,606 calon, meraih semua A (A+, A, A-), meningkat daripada 11,713 calon pada 2023.

Beliau memaklumkan bahawa prestasi keseluruhan pelajar menunjukkan peningkatan berdasarkan penurunan nilai Gred Purata Keseluruhan (GPK) kepada 4.49, berbanding 4.60 pada tahun lalu.

Sebanyak 22.7% calon memperoleh sekurang-kurangnya gred C (Kepujian) dalam semua mata pelajaran, meningkat daripada 22.3% pada 2023.

Sementara itu, 36.1% calon berjaya lulus semua subjek dengan sekurang-kurangnya gred E, naik daripada 35.2% sebelumnya.

Keputusan boleh disemak mulai jam 10 pagi hari ini di sekolah, pejabat JPN (bagi calon persendirian), secara dalam talian, atau melalui SMS sehingga 30 April, 6 petang.

Sebanyak 402,918 calon telah mendaftar untuk peperiksaan bertulis yang berlangsung dari 2 Januari hingga 6 Februari di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Dalam artikel ini, kami kongsikan segala maklumat berkaitan keputusan SPM 2024 termasuk cara semakan dan mendapatkan slip keputusan, serta pilihan untuk semakan semula.

Bila Keluar Result SPM 2024?

Menurut kenyataan rasmi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), keputusan SPM 2024 diumumkan pada 24 April 2025 (Khamis) bermula pukul 10 pagi.

Seramai 402,956 calon telah mendaftar menduduki peperiksaan ini di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara.

Ini termasuklah calon sekolah dan calon persendirian dari pelbagai latar belakang.

Bagi calon sekolah, keputusan boleh diperoleh terus daripada sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi pada 24 April ini.

Calon persendirian pula akan menerima keputusan melalui pos atau boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar.

Sila rujuk kenyataan rasmi KPM di sini.

Cara Semakan Keputusan SPM 2024

Terdapat beberapa kaedah disediakan oleh KPM untuk menyemak keputusan peperiksaan SPM 2024.

Ini bagi memastikan semua calon mendapat akses mudah dan cepat kepada keputusan mereka:

1. Semakan di Sekolah

Calon sekolah boleh hadir ke sekolah masing-masing pada 24 April 2025 mulai jam 10.00 pagi untuk mendapatkan slip keputusan.

2. Semakan Secara Dalam Talian / Online

Calon juga boleh membuat semakan secara online melalui laman web rasmi myresultspm.moe.gov.my.

Sistem dibuka mulai 10 pagi, 24 April 2025 hingga 6 petang, 30 April 2025.

3. Semakan Melalui SMS

Calon boleh mendapatkan ringkasan keputusan melalui SMS dengan format berikut:

SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888
(Sistem akan aktif dari 24 hingga 30 April 2025, jam 10 pagi – 6 petang)

Contoh:
SPM 070101014321 AB123A456

Baca juga:

Check SPM Result With IC Secara Online, SMS & Sekolah

Semak Semula Keputusan SPM 2024

Bagi calon yang ingin membuat semakan semula keputusan, anda boleh menggunakan sistem e-Lembaga Peperiksaan (ELP) yang akan dibuka bermula dari 24 April hingga 23 Mei 2025.

Langkah semakan semula:

  1. Layari: https://elp.moe.gov.my.
  2. Isi permohonan semakan semula keputusan.
  3. Bayaran: RM100 setiap mata pelajaran.
  4. Keputusan semakan semula akan dimaklumkan kepada calon selepas proses selesai.

Nota: Kalau keputusan tidak berubah, slip keputusan asal masih sah digunakan. Namun, jika terdapat perubahan, calon sekolah perlu berhubung dengan SUP manakala calon persendirian perlu menghubungi SPP di Jabatan Pendidikan Negeri untuk mendapatkan slip yang baharu.

Baca juga:

Semak Keputusan SPM Lama Secara Online Di e-LP

Takrifan Gred Keputusan SPM

Berikut ialah takrifan gred yang digunakan dalam slip keputusan:

  • A+ – Cemerlang Tertinggi
  • A – Cemerlang Tinggi
  • A- – Cemerlang
  • B+ – Kepujian Tertinggi
  • B – Kepujian Tinggi
  • C+ – Kepujian Atas
  • C – Kepujian
  • D – Lulus Atas
  • E – Lulus
  • G – Gagal

Selain itu, catatan khas seperti “TH” (Tidak hadir), “Digantung” dan “Dibatalkan” juga boleh muncul dalam slip keputusan bagi kes tertentu.

Tahniah & Nasihat Buat Calon SPM 2024

Kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon atas usaha dan pencapaian mereka.

Keputusan SPM bukanlah penamat, tetapi permulaan kepada langkah seterusnya dalam kehidupan sama ada ke universiti, kolej, program TVET atau dunia pekerjaan.

Ambil masa untuk menyusun semula hala tuju selepas keputusan keluar.

Buat pilihan yang bijak berdasarkan minat, kekuatan dan impian masa depan anda.

Jangan lupa, jika ada sebarang keraguan terhadap keputusan, anda boleh memohon semakan semula melalui ELP.

Semoga semua calon berjaya dengan cemerlang dan dapat merancang masa depan dengan lebih jelas!

Kongsi artikel ini kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang menanti keputusan SPM 2024.

Untuk info lanjut dan kemaskini terkini, layari laman rasmi KPM di www.moe.gov.my atau terus ke myresultspm.moe.gov.my pada hari keputusan diumumkan.

Leave a Comment