Sistem bersepadu baharu untuk merekod bahan bacaan murid secara dalam talian, AINS NILAM telah dilancarkan pada 19 Mac 2024.
Sistem ini bertujuan membantu memudahkan murid merekod bahan bacaan secara online dan meringankan beban guru untuk menganalisis perekodan bahan bacaan murid.
Dalam artikel ini, kami kongsikan panduan lengkap untuk murid log masuk sistem ini dan cara merekod bacaan dalam AINS NILAM.
Apa Itu AINS NILAM?
AINS NILAM atau Advance Integrated NILAM System adalah platform digital yang direka khas untuk menggalakkan aktiviti membaca dalam kalangan murid seluruh Malaysia.
AINS adalah sistem pengurusan bacaan online yang dibangunkan bagi menggantikan kaedah manual merekod aktiviti membaca murid menggunakan buku NILAM (yang diamalkan sejak tahun 1999).
Sistem baharu ini diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2024 untuk membantu murid, guru, pihak sekolah dan ibu bapa dalam memantau dan menilai aktiviti membaca secara lebih sistematik.
Melalui AINS NILAM, pelajar dapat memasukkan dan menyimpan maklumat berkaitan bahan bacaan yang mereka baca.
Selain itu, guru, pihak sekolah, PPD, JPN dan KPM juga boleh menguruskan data bacaan pelajar serta memantau status dan tahap pencapaian NILAM murid.
Sama seperti Modul NILAM Johor, sistem AINS juga dilengkapi dengan permainan, penilaian dan cadangan bahan bacaan.
Malahan, aplikasi sistem ini juga membolehkan murid mendapatkan mata ganjaran yang boleh ditebus bagi menggalakkan lagi tabiat membaca dalam kalangan mereka.
Cara Login AINS NILAM

Untuk masuk ke dalam sistem ini, murid atau guru perlu melayari portal rasmi AINS: https://ains.moe.gov.my/.
Berikut adalah langkah-langkah untuk log masuk:
- Layari portal rasmi AINS (seperti pautan di atas).
- Sistem ini boleh diakses menggunakan akaun DELIMa KPM.
- Murid perlu masukkan ID DELIMa dan Kata Laluan untuk log masuk.
- Murid yang belum mempunyai ID DELIMa diminta berhubung dengan guru kelas masing-masing.
- Klik butang Log Masuk.
- Selepas berjaya login, skrin utama sistem AINS akan dipaparkan.
- Selesai.

Baca juga:
Cara Rekod Bahan Bacaan Nilam
Selepas login berjaya, murid boleh mulakan aktiviti rekod bahan bacaan yang telah dibaca dalam sistem ini.
Caranya:
- Klik butang AINS atau + pada bar navigasi bahagian bawah.
- Pilih Sumber Bacaan Anda.
- Taip maklumat Bahan Bacaan seperti Tajuk, Pengarang / Penulis, Penerbit, Tahun Terbitan, Jenis Buku dan Tarikh Baca.
- Klik butang Seterusnya untuk meneruskan sesi.
- Masukkan Rumusan / Sinopsis dan Pengajaran yang anda dapat melalui bahan bacaan tersebut. Pastikan jumlah perkataan anda mencapai tahap minimum.
- Beri tahap penilaian bahan bacaan tersebut dari 0-5 bintang.
- Klik butang Seterusnya.
- Anda boleh memuat naik gambar kulit depan bahan bacaan anda (jika ada).
- Klik Seterusnya.
- Semak sekali lagi butiran yang anda telah isi tadi, jika betul, boleh klik Hantar.
- Jika ada pembetulan, anda boleh klik butang Kembali.
- Jika anda ingin melihat semula senarai rekod bacaan yang anda telah isikan sebelum ini, pergi ke bahagian Rekod Terkini pada skrin utama.
Dengan adanya rekod bahan bacaan yang tersimpan dalam sistem AINS NILAM, murid dapat melihat kemajuan mereka dalam aktiviti membaca, dan guru juga boleh membuat penilaian dengan efektif.

Kesimpulan
AINS NILAM adalah platform digital yang menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan murid.
Dengan menggunakan sistem ini, murid dapat menguruskan rekod bacaan mereka dengan lebih teratur dan memantau kemajuan diri dari semasa ke semasa.
Sebarang maklumat lanjut mengenai sistem ini boleh layari portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia atau facebook rasmi KPM.