Kadar Dividen SSPN 2024 / 2025 Meningkat Sehingga 4.05 Peratus, Beri Manfaat Kepada Pendeposit
Tahun 2025 membawa berita gembira buat semua pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) apabila dividen SSPN 2024 diumumkan pada kadar yang menggalakkan.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 4.05 peratus, antara yang tertinggi dalam sedekad.
Pengumuman ini menggambarkan prestasi kukuh dan pengurusan dana yang cekap oleh PTPTN, serta menggalakkan lebih ramai ibu bapa untuk merancang simpanan pendidikan anak-anak melalui skim ini.
Dalam artikel ini, kami akan terangkan lebih lanjut mengenai SSPN, sejarah dividen SSPN, kelebihan membuat simpanan dalam SSPN dan cara semakan penyata.
Jom baca!
Kadar Dividen SSPN 2024 Meningkat ke 4.05 Peratus
Kadar dividen SSPN 2024 meningkat sebanyak 0.45 peratus berbanding nilai kadar dividen 3.60 peratus pada tahun sebelumnya.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, agihan dividen ini melibatkan kira-kira 6.77 juta pendeposit dengan jumlah peruntukan melebihi RM439 juta.
Ia merupakan bukti kecekapan PTPTN dalam mengurus simpanan rakyat dengan strategi pelaburan yang bijak, berlandaskan tadbir urus berintegriti dan berhemah.
Kenaikan ini juga menjadikan SSPN sebagai platform simpanan pendidikan yang lebih kompetitif di pasaran.
Keistimewaan Menyimpan dalam SSPN
SSPN bukan sahaja memberi pulangan dalam bentuk dividen SSPN 2024, tetapi juga pelbagai insentif tambahan yang menarik untuk pendeposit.
Antara kelebihannya termasuk:
- Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun.
- Perlindungan takaful percuma (SSPN-i Plus).
- Syarat wajib untuk memohon pinjaman PTPTN.
- Patuh syariah dan dijamin kerajaan.
Dengan kelebihan ini, SSPN bukan sekadar simpanan biasa tetapi merupakan pelan kewangan pendidikan yang menyeluruh untuk anak-anak.
Semakan Penyata dan Pengkreditan Dividen

Pendeposit yang mempunyai akaun SSPN aktif secara automatik akan menerima dividen SSPN 2024 yang dikreditkan ke akaun masing-masing.
Untuk semakan penyata, PTPTN menyediakan beberapa saluran digital dan fizikal, iaitu melalui portal rasmi SSPN di pautan: https://www.sspn.com.my/.
Semakan boleh dibuat bermula 2 Mei 2025, Jumaat ini.
Kemudahan digital seperti semakan secara online sangat memudahkan pengguna untuk menyemak penyata terkini mereka pada bila-bila masa tanpa perlu ke kaunter.
Cara Daftar Akaun SSPN Baharu
Sekiranya anda belum mempunyai akaun SSPN bagi membuat semakan dividen SSPN 2025 , berikut ialah langkah mudah untuk mendaftar akaun SSPN:
- Kunjungi laman rasmi https://www.sspn.com.my.
- Pilih sama ada SSPN-Plus atau SSPN-i Plus.
- Lengkapkan maklumat anak dan pendeposit.
- Tetapkan kata laluan dan sahkan pendaftaran.
- Log masuk dan mulakan penambahan simpanan.
Selepas pendaftaran berjaya, anda akan mula menikmati semua kelebihan termasuk agihan dividen SSPN 2024 dan manfaat jangka panjang lain.
Perbandingan Kadar Dividen SSPN Tahun-Tahun Lalu
Sebagai rujukan, berikut adalah kadar dividen SSPN beberapa tahun kebelakangan ini:
- 2023: 3.60 peratus
- 2022: 3.05 peratus
- 2021: 3.00 peratus
- 2017-2020: 4.00 peratus
Kadar dividen SSPN 2024 setinggi 4.05% menunjukkan peningkatan yang konsisten dan potensi besar untuk jangka panjang.
Baca juga:
Dividen KWSP 2025 Diumum 6.3 Peratus, Tertinggi Sejak 2017
Dividen Tabung Haji 2025 : Tarikh Pengumuman & Kadar Dividen
Peluang Bijak Rancang Pendidikan Anak
Dengan agihan dividen SSPN 2024 yang tertinggi dalam 10 tahun, jelas bahawa SSPN ialah pilihan simpanan pendidikan yang selamat, stabil dan memberi pulangan tinggi.
Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, menyimpan dalam SSPN bukan sahaja menyediakan dana pendidikan tetapi juga membantu ibu bapa untuk mendapatkan pengecualian cukai.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar ini, menyimpan demi pendidikan anak adalah langkah yang bijak dan bertanggungjawab.
Disclaimer: Sumber gambar daripada facebook rasmi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.