Anda mungkin tidak ingat, ada wang dalam bank yang anda sudah lama tak guna dan tak pernah keluarkan. Hah! Inilah masanya untuk anda gunakan eGUMIS.
Apa itu eGumis?
Ini kami kongsikan penerangan lanjut tentang sistem eGUMIS dan cara untuk anda membuat semakan Wang Tak Dituntut atau WTD secara online tanpa perlu hadir ke kaunter.
Wang Tak Dituntut (WTD)
Sebelum kami mengulas lebih lanjut tentang sistem eGUMIS, eloklah jika kita fahami dahulu apa itu wang tak dituntut dan kaitannya dengan sistem ini.
Mengikut Akta Wang Tak Dituntut 1965, tafsiran Wang Tak Dituntut atau WTD adalah wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan oleh empunya dalam satu tempoh masa tidak kurang daripada tujuh tahun.
Contoh bagi Wang Tak Dituntut adalah:
- Baki akaun bank tidak aktif selama lebih daripada 7 tahun. Contoh: akaun semasa, akaun simpanan atau akaun tetap.
- Wang yang sepatutnya dibayar dari segi undang-undang kepada individu (tetapi tidak dibayar) dalam tempoh masa tidak kurang setahun, seperti: upah, faedah, gaji, bonus, simpanan tetap yang sudah matang, dan dividen.
- Bayaran balik insurans yang belum dituntut.
- Pemiutang pelbagai atau penghutang pelbagai berbaki kredit.
- Wang cagaran atau deposit yang tidak digunakan.

Dalam erti kata ringkasnya, WTD merujuk kepada wang yang tidak dituntut oleh pemiliknya dalam suatu tempoh tertentu.
Wang yang tidak dituntut dalam tempoh tertentu akan diserahkan kepada Akauntan Negara.
Jika pemilik ingin menyemak dan menuntut semula wang tersebut, ia boleh dilakukan menerusi sistem eGUMIS.
Maklumat lebih terperinci mengenai WTD boleh didapati di portal rasmi Jabatan Akauntan Negara Malaysia: https://www.anm.gov.my/awam/wang-tak-dituntut.
Lebih RM12 bilion wang tidak dituntut setakat 31 Okt 2024
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan, terdapat baki kira-kira RM12.8 bilion wang milik awam yang masih tidak dituntut setakat 31 Oktober 2024.
Beliau memberitahu perkara ini ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, pertengahan November tahun lalu.
Sejak 2022, Jabatan Akauntan Negara telah memperluaskan kesedaran dan menggalakkan orang awam di seluruh negara membuat tuntutan WTD.
Melihat baki WTD yang masih tinggi angkanya, pihak kerajaan kini sedang meneliti cadangan untuk mengesan pemilik atau waris bagi memulangkan wang berkenaan dengan cara mengkredit terus ke dalam akaun mereka.
Pemilik atau waris akan dikesan dengan menggunakan data terkini yang ada di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Namun, buat masa ini, orang awam diminta supaya cakna akan kewujudan Wang Tidak Dituntut dengan membuat semakan di sistem eGUMIS.
eGUMIS & Fungsinya
Jabatan Akauntan Negara Malaysia atau JANM memperkenalkan satu portal iaitu sistem eGUMIS, yang bertujuan memudahkan urusan untuk semakan Wang Tidak Dituntut secara dalam talian.
Fungsi sistem ini adalah untuk membolehkan orang ramai membuat semakan dan menuntut jumlah Wang Tidak Dituntut, secara online tanpa perlu hadir dan beratur di kaunter JANM.
Ia menjadikan sistem ini lebih mudah diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja termasuk di rumah.
Individu dan syarikat boleh membuat semakan Wang Tak Dituntut secara dalam talian di sistem eGUMIS dengan memasukkan nombor pengenalan diri atau nombor pendaftaran syarikat dan kata laluan.
Cara Menggunakan Sistem eGUMIS
Ini panduan mudah untuk anda menggunakan sistem eGUMIS.
- Layari portal rasmi JANM di sini: https://www.anm.gov.my/, kemudian klik pautan portal Wang Tak Dituntut (WTD).
- Anda akan dibawa ke portal eGUMIS.
- Jika anda belum pernah mendaftar, klik butang Pendaftaran di bahagian atas sekali sebelah kanan anda.
- Lengkapkan maklumat Pendaftaran Pengguna seperti gambar di bawah.
- Kemudian, klik butang Daftar.
- Sahkan pendaftaran melalui e-mel.
- Klik Kembali untuk teruskan Log Masuk.
- Masukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan yang telah didaftarkan.
- Klik butang Log Masuk.

Cara Semakan Wang Tak Dituntut
- Sambungan kepada langkah di atas.
- Masukkan sekali lagi nombor kad pengenalan anda untuk menyemak WTD (di pautan berwarna ungu seperti gambar di bawah).
- Sistem akan memaparkan jumlah WTD yang layak untuk dituntut.

Permohonan Tuntutan Dalam Sistem eGUMIS
Selepas menyemak senarai wang tak dituntut, ini cara membuat permohonan tuntutan wang anda.
- Klik butang Teruskan Dengan Permohonan.
- Lengkapkan borang tuntutan dengan mengisi maklumat yang diminta.
- Hantar borang untuk diproses oleh pihak JANM secara dalam talian.
Selepas tuntutan dibuat, wang anda akan diproses kira-kira 30 hingga 90 hari untuk dikreditkan ke akaun bank yang dinyatakan dalam borang tuntutan.
Anda boleh menyemak status permohonan secara berkala melalui sistem ini.
Nota: Sistem ini hanya membenarkan carian sebanyak 2 kali sehari.
Baca lagi:
- Tarikh Bayaran PERKESO 2025 : Faedah / Pencen.
- EFiling 2025 : Senarai Pelepasan Cukai LHDN Tahun 2024.
- Gaji 2025: Jadual Tarikh Bayaran Gaji Penjawat Awam.
Maklumat Lanjut
Sebarang persoalan atau maklumat lebih terperinci tentang Wang Tidak Dituntut (WTD) dan eGUMIS boleh layari portal rasmi Pendaftar Wang Tak Dituntut Jabatan Akauntan Negara Malaysia di pautan ini: https://ewtd.anm.gov.my/.