Buku NILAM tidak asing lagi dalam kalangan pelajar sekolah. Namun, tahukah anda tentang Modul NILAM Johor?
Ya! Sama seperti buku NILAM, Modul NILAM Johor juga sangat berkaitan dengan murid, sekolah dan pejabat atau jabatan pelajaran / pendidikan.
Kami akan terangkan lebih lanjut mengenainya dalam artikel ini.
Teruskan pembacaan anda.
Program NILAM
Sebelum masuk kepada fokus utama, kami terangkan dahulu secara ringkas mengenai program NILAM dalam kalangan pelajar sekolah seluruh Malaysia ini.
Program NILAM mula diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1999.
Ia merupakan satu program yang menggalakkan para pelajar sekolah untuk menambah dan memperbanyakkan aktiviti membaca.
NILAM merupakan singkatan bagi perkataan ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca’.
Apa Itu Modul NILAM Johor?

Modul NILAM Johor (MNJ) atau NILAM Johor adalah kaedah alternatif untuk memudahkan rekod bacaan NILAM dalam kalangan pelajar di negeri Johor.
Sebelum ini, aktiviti merekod bacaan buku dilakukan secara manual di dalam buku NILAM.
Namun, Jabatan Pendidikan Negeri Johor di bawah pengelolaan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan laman sesawang khas untuk merekod aktiviti bacaan pelajar Johor.
Aktiviti merekod bahan bacaan yang telah dibaca oleh pelajar Johor ini dipanggil sebagai Modul NILAM Johor.
Ia perlu dilakukan secara online melalui aplikasi rasmi NILAM JOHOR di pautan ini.
Sistem ini bukan hanya boleh diakses oleh para pelajar untuk mengisi rekod buku bacaan yang telah dibaca, malahan terdapat juga butang untuk kegunaan pihak sekolah, pejabat dan jabatan pendidikan negeri.
Pada masa akan datang, ibu bapa juga turut boleh mengakses sistem ini untuk memberi galakan membaca kepada anak-anak sekolah.
Platform ini mula diaplikasikan sejak Januari 2022 di semua sekolah di Johor.
IQ NILAM & MNJ
MNJ berbeza dengan IQ NILAM kerana MNJ hanya tertumpu kepada Johor untuk mengumpulkan data bacaan program NILAM yang lebih menyeluruh.
Sementara IQ Nilam merupakan sistem pengurusan perekodan bacaan online peringkat persekutuan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dahulu.
IQ Nilam digunakan oleh semua pelajar dan guru seluruh Malaysia, kecuali negeri Johor.
Log Masuk NILAM Johor (Murid)

Bagi merekod buku bacaan yang telah dibaca, pelajar perlu login ke portal rasmi MNJ di pautan ini: https://nilamjohor.edu.my/.
Buat permulaan, guru atau pihak sekolah boleh membantu pelajar yang pertama kali ingin login.
Ikut langkah-langkah di bawah ini:
- Klik butang MURID.
- Isikan ID DELIMa murid dan kata laluan yang didaftarkan.
- Klik butang Log Masuk.
Baca juga:
- Cuti Sekolah 2025: KPM Sudah Keluarkan Takwim Rasmi.
- Kalendar 2025 Malaysia: Tarikh Cuti Umum Dan Cuti Sekolah.
- Rukun Negara Malaysia: Fahami Makna 5 Prinsip Rukun Negara.
Cara Rekod Bahan Bacaan
Selepas log masuk, pelajar boleh mulakan aktiviti rekod bahan bacaan yang telah dibaca dalam sistem ini.
Caranya:
- Klik butang Aktiviti Bacaan pada paparan selepas log masuk.
- Kemudian klik Tambah aktiviti bacaan untuk mula merekod bacaan pelajar.
- Pilih Klasifikasi Bahan Bacaan yang terdiri daripada Kategori Bahan dan Kategori Bahasa.
- Taip maklumat Bahan Bacaan seperti Judul, Sinopsis, Pengarang, Penerbit, Tahun Terbit dan Tarikh Baca ke dalam MNJ.
- Selesai isi semua maklumat, klik butang Simpan.
- Rekod bacaan yang berjaya disimpan akan dipaparkan dalam Senarai bahan yang dibaca.
- Jika tiada dalam senarai bacaan, anda perlu ulang semula langkah 4 dan 5.
Nota: Rekod yang berjaya disimpan tidak boleh dihapuskan oleh pelajar.
Proses padam hanya boleh dilakukan oleh Guru Kelas dan pihak sekolah yang tertentu sahaja.
Jadi, sila maklumkan kepada guru anda jika ingin memadam rekod bacaan yang telah dibaca.
Maklumat Lanjut
Video tutorial mengenai MNJ Edisi Murid boleh ditonton di sini untuk lebih faham.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh didapati di portal rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Johor.