Sejak zaman sekolah lagi, kita telah diajar untuk menghafal dan mengingat akan lima (5) prinsip Rukun Negara.
Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan
Masih ingatkah anda laungan ikrar ketika perhimpunan sewaktu zaman sekolah ini?
Ya! Inilah prinsip Rukun Negara yang ‘wajib’ dihafal oleh setiap pelajar sekolah di Malaysia.
Bukan itu sahaja, seluruh rakyat Malaysia tidak kira tua atau muda perlu mengingati ikrar ini.
Akan tetapi, adakah anda benar-benar faham akan maksud setiap prinsip yang ada dalam Rukun Negara?
Ayuh teruskan pembacaan anda untuk memahami lebih mendalam tentang maksud setiap prinsip ini.
Sejarah Penubuhan
Rukun Negara adalah falsafah negara yang menjadi garis panduan hidup bermasyarakat di Malaysia.
Ia merujuk kepada lima prinsip utama yang menjadi dasar perpaduan rakyat di negara ini, ke arah mewujudkan kestabilan sosial, politik, dan ekonomi Malaysia.
Rukun Negara mula diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.
Tujuannya adalah untuk memupuk perpaduan, keharmonian dan kemakmuran negara, selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang membawa kepada ketegangan kaum di Malaysia.
Setahun selepas tragedi 13 Mei, kerajaan mencari formula untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia agar kejadian pergaduhan antara kaum tidak berulang lagi.
Justeru, kerajaan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada 16 Mei 1969 untuk mengembalikan semula keamanan antara kaum di Malaysia.
Struktur Rukun Negara
Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh.
Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.
Menurut Jabatan Penerangan Malaysia, Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian:-
Bahagian Pertama: Objektif
Menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk:
• Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat.
• Memelihara cara hidup demokratik.
• Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
• Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak.
• Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Bahagian Kedua: Prinsip Rukun Negara

Menggariskan lima prinsip Rukun Negara yang berikut:
• Kepercayaan Kepada Tuhan.
• Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
• Keluhuran Perlembagaan.
• Kedaulatan Undang-undang.
• Kesopanan dan Kesusilaan.
Maksud 5 Prinsip Rukun Negara
Berikut adalah maksud lima prinsip Rukun Negara Malaysia:
1. Kepercayaan Kepada Tuhan
Menurut portal rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), definisi prinsip Rukun Negara yang pertama adalah, semua rakyat Malaysia harus mengakui bahawa Tuhan melebihi kuasa yang lain.
Seseorang yang patuh dan taat setia kepada ajaran agamanya mempunyai budi pekerti yang mulia serta sifat-sifat terpuji.
Kerajaan juga percaya bahawa agama menjadi unsur penting dalam membentuk rohani sesebuah masyarakat.
Malahan, telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan di negara ini dengan bebas.
Malaysia mengiktiraf pelbagai agama yang dianuti rakyatnya, serta memupuk rasa hormat terhadap kebebasan beragama.
2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Rakyat Malaysia diingatkan untuk setia kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, seperti yang disebut dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.
Negara Malaysia juga adalah sebuah negara yang berdaulat, mengutamakan semangat kekitaan dan perpaduan nasional.
Oleh itu, prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di Malaysia.
3. Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ketiga ini menekankan pentingnya setiap rakyat Malaysia untuk menghormati dan mematuhi Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara, yang menjadi asas sistem pemerintahan dan urusan negara.
Setiap rakyat perlu menghormati dan mematuhi Perlembagaan supaya negara kekal aman dan damai.
Baca juga:
Kalendar 2025 Malaysia: Tarikh Cuti Umum Dan Cuti Sekolah
4. Kedaulatan Undang-undang
Bagi memelihara keamanan negara, prinsip keempat ini menekankan bahawa undang-undang yang sedia ada di Malaysia bersifat adil dan saksama, tanpa mengira bangsa, agama, kaum atau status.
Sesiapa yang melanggar undang-undang negara akan dihukum tanpa mengira bangsa dan kaum.
Keadilan merupakan elemen penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
5. Kesopanan dan Kesusilaan
Setiap rakyat Malaysia digalakkan untuk:
- Bertolak-ansur.
- Bertimbang rasa.
- Berakhlak baik.
- Beradab.
- Menghormati nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
- Menjaga keharmonian dalam hubungan sosial antara sesama rakyat.
Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan ini amat penting untuk mewujudkan masyarakat yang menghormati dan menghargai kepentingan setiap kaum di Malaysia.
Pegangan kepada prinsip ini boleh membawa kepada perhubungan yang harmoni dalam masyarakat kita.
Ikrar
Maka Kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
- Kepercayaan Kepada Tuhan.
- Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
- Keluhuran Perlembagaan.
- Kedaulatan Undang-undang.
- Kesopanan dan Kesusilaan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Rukun Negara penting dalam membentuk masa depan Malaysia.
Dengan memahami setiap maksud daripada prinsip yang ada, kita akan lebih bertimbang rasa, bertolak-ansur dan beradab dengan pelbagai masyarakat majmuk yang ada di negara kita.
Maklumat lanjut tentang perkara ini boleh didapati di Jabatan Penerangan Malaysia.