๐Ÿ›๏ธ Voucher Shopee CNY! ๐Ÿงง
CNY2025
Claim All!
*Terms and conditions apply. Valid until 31 Jan 2025

Maksud Gaji Hakiki, Gaji Bersih, Kasar & Gaji Pokok: Apa Bezanya

Pekerja kerajaan pasti pernah dengar perkataan gaji hakiki, tetapi adakah anda tahu apakah maksud gaji hakiki?

Gaji adalah upah yang dibayar untuk suatu pekerjaan yang dilakukan.

Gaji juga adalah elemen utama dalam pekerjaan yang menentukan pendapatan seseorang pekerja.

Selain gaji hakiki yang sering digunakan dalam istilah penjawat awam, terdapat beberapa jenis gaji lagi yang biasa kita dengar seperti gaji bersih, gaji kasar dan gaji pokok.

Walau bagaimanapun, seringkali berlaku kekeliruan antara kesemua istilah gaji yang selalu digunakan ini.

Masing-masing mempunyai maksud dan pengiraan yang berbeza.

Jadi, penting untuk setiap pekerja dan majikan memahami perbezaannya agar pengurusan kewangan menjadi lebih baik.

Dalam artikel ini, kami akan terangkan maksud gaji hakiki, gaji bersih, gaji kasar dan gaji pokok, serta perbezaan setiap satunya.

Maksud Gaji Bersih

Selalu kalau kita ingin memohon pinjaman bank, pasti kita akan ditanya berapa gaji bersih awak?

Mesti masa ni ramai yang keliru nak beritahu jumlah gaji penuh sebelum pemotongan atau jumlah gaji selepas mengambil kira potongan komitmen.

Kedua-duanya salah sebab ini bukan maksud gaji bersih yang sebenar.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), maksud gaji bersih adalah jumlah duit gaji yang masuk ke akaun bank pekerja setiap bulan.

Gaji bersih merujuk kepada jumlah wang yang anda terima selepas segala potongan wajib yang dikenakan (yang ada tertera di dalam penyata gaji anda).

Potongan ini termasuklah potongan untuk KWSP, PERKESO, cukai pendapatan, dan lain-lain potongan yang berkaitan.

Jumlah gaji bersih ini juga sudah termasuk dengan amaun elaun tambahan yang anda terima setiap bulan.

Ini formula pengiraan gaji bersih mengikut JPA:

Gaji Bersih = Gaji Asas + Elaun (Jika Ada) – Potongan

Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam.

Maksud Gaji Kasar

Gaji kasar pula merujuk kepada jumlah keseluruhan gaji termasuk segala elaun yang diterima oleh pekerja, sebelum sebarang potongan dilakukan.

Ini termasuklah gaji asas / pokok ditambah dengan sebarang elaun, faedah, atau tambahan lain yang diterima sebagai sebahagian daripada pampasan atau imbuhan.

Gaji kasar merupakan jumlah yang lebih besar berbanding gaji pokok kerana ia merangkumi elaun tambahan lain seperti elaun perumahan, elaun sara hidup, dan lain-lain.

Gaji kasar biasanya digunakan untuk menentukan kelayakan individu dalam permohonan pinjaman atau faedah kewangan lain, kerana ia menunjukkan jumlah pendapatan keseluruhan sebelum pengurangan.

Formula pengiraan gaji kasar mengikut JPA:

Gaji Kasar = Gaji Asas + Elaun (Jika Ada)

Maksud Gaji Pokok

Dari awal artikel tadi kita sebut mengenai gaji asas atau gaji pokok, tapi apa sebenarnya gaji pokok ini?

Gaji pokok atau biasa kita sebut, gaji basic adalah jumlah wang yang diterima oleh pekerja sebelum sebarang elaun, faedah, atau potongan ditolak.

Gaji pokok adalah komponen utama dalam struktur gaji seseorang dan biasanya akan ditentukan berdasarkan gred perjawatan dan pengalaman.

Bagi pekerja sektor kerajaan, ia merupakan asas yang digunakan untuk mengira jumlah keseluruhan gaji yang akan diterima seseorang pekerja.

Gaji Pokok = Gaji Asas = Gaji Basic

Maksud Gaji Hakiki

Gaji hakiki dalam istilah perkhidmatan awam bermaksud gaji yang ditetapkan berdasarkan gred hakiki penjawat awam.

Ia merujuk kepada gaji yang dibayar secara tetap setiap bulan tanpa sebarang potongan atau tambahan.

Untuk fahaman yang lebih mudah, maksud gaji hakiki ialah gaji pokok.

Gaji hakiki bukan gaji bersih dan juga bukan gaji kasar.

Gaji bersih berbeza dengan gaji hakiki kerana gaji bersih ditambah dengan elaun dan ada melibatkan potongan caruman dan sebagainya, manakala gaji hakiki adalah jumlah asas tanpa sebarang potongan atau tambahan elaun.

maksud gaji hakiki pengiraan

Dalam konteks sektor kerajaan, gaji hakiki sangat penting kerana ia memberi gambaran tentang kelayakan seseorang berdasarkan pengalaman, kelulusan akademik, dan jawatan yang disandang.

Setiap pegawai kerajaan akan menerima gaji hakiki yang berbeza bergantung kepada gred atau kumpulan perkhidmatan yang mereka sertai.

Perbezaan Antara Gaji Bersih, Kasar & Pokok

maksud gaji hakiki

Walaupun istilah gaji bersih, gaji kasar dan gaji pokok / hakiki sering digunakan dalam konteks yang sama, namun terdapat perbezaan yang ketara antara setiap jenis gaji ini.

  1. Gaji Bersih adalah jumlah wang gaji yang masuk ke dalam akaun bank penjawat awam selepas sebarang potongan dikenakan, termasuklah potongan KWSP dan cukai.
  2. Gaji Kasar pula adalah jumlah keseluruhan gaji yang diterima sebelum sebarang potongan, termasuklah gaji pokok dan elaun tambahan.
  3. Gaji Pokok merujuk kepada jumlah asas yang diterima tanpa sebarang elaun atau tambahan, dan sebelum potongan.

Jika masih belum faham, anda tidak perlu risau kerana biasanya di dalam penyata gaji anda akan dinyatakan gaji kasar dan gaji pokok.

Gaji bersih pula anda boleh lihat jumlah wang gaji yang anda terima setiap bulan di dalam bank.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, gaji hakiki adalah asas ataupun sama dengan gaji pokok, manakala gaji kasar merangkumi gaji pokok ditambah dengan elaun dan faedah.

Gaji bersih pula merupakan jumlah yang diterima selepas semua potongan dilaksanakan.

Dengan memahami maksud gaji hakiki, gaji bersih, gaji kasar dan gaji pokok, anda boleh merancang kewangan dengan lebih baik.

Leave a Comment