Selain penjawat awam, masuk sahaja hujung tahun, orang pencen kerajaan pun akan selalu tertanya-tanya bila tarikh bayaran pencen 2025.
Apatah lagi apabila mendengar pengumuman mengenai pelarasan pencen yang akan dilaksanakan secara berfasa tahun 2025.
Tentunya ada berita baik untuk para pesara kerajaan!
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pelarasan pencen dan juga jadual pembayaran gaji tahun 2025, teruskan membaca artikel ini.
Pencen Kerajaan
Pencen adalah wang atau manfaat kewangan yang diberikan secara tetap setiap bulan kepada individu setelah mereka berhenti bekerja daripada perkhidmatan kerajaan.
Pencen biasanya diberikan kepada pekerja yang telah bekerja dalam satu-satu tempoh perkhidmatan yang ditetapkan dan menyumbang ke dalam skim pencen kerajaan.
Tujuannya adalah supaya bekas pekerja sektor awam ini atau pesara kerajaan terus menerima pendapatan bulanan walaupun sudah bersara.
Ini bagi membolehkan mereka menampung kehidupan dan mengurangkan beban kos sara hidup.
Ini juga sebagai penghargaan atas jasa pesara kerajaan yang selama ini berkhidmat untuk negara.
Walau bagaimanapun, jumlah pencen adalah bergantung kepada tempoh perkhidmatan individu dan gaji terakhir mereka.
Pelarasan Pencen 2025
Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19 2024, Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pesara dan penerima pencen terbitan akan menerima pelarasan pencen melalui dua fasa pada tahun 2025.
Ini berikutan pengumuman kerajaan untuk menaikkan peratusan gaji tahun 2025 yang dinikmati penjawat awam sedang berkhidmat.
Amaun pencen akan dibuat berdasarkan peratusan pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing secara berfasa; iaitu pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026.
Selain itu, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) dan penerima pencen terbitan yang telah menikmati PKKP dalam usaha menjaga kebajikan para pesara kerajaan.
Kerajaan juga mengumumkan beberapa pindaan terhadap Arahan Perbendaharaan (AP) 105 yang berkaitan dengan tarikh pembayaran emolumen dan pencen bagi pesara kerajaan.
Tarikh Bayaran Pencen 2025
Penting untuk pesara kerajaan tahu tarikh bayaran pencen mereka setiap bulan agar mudah untuk mereka menguruskan dan merancang kewangan.
Berikut kami kongsikan tarikh bayaran pencen 2025, seperti yang diumumkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Surat Pekeliling JPA.800-1/6/3(36).
Jadi, pesara sudah boleh tandakan siap-siap di kalendar 2025 Malaysia.
Lazimnya, bayaran pencen 2025 akan dibayar satu hari hingga 6 hari lebih awal daripada gaji penjawat awam.
Bulan | Tarikh | Hari | Catatan |
Januari | 17.01.2025 | Jumaat | Tahun Baru Cina – 29 & 30 Januari 2025 – (Rabu & Khamis) |
Februari | 19.02.2025 | Rabu | |
Mac | 21.03.2025 | Jumaat | Hari Raya Puasa – 31 Mac 2025 & 1 April 2025 (Isnin & Selasa) |
April | 18.04.2025 | Jumaat | |
Mei | 21.05.2025 | Rabu | Hari Pesta Kaamatan – 30 & 31 Mei 2025 (Jumaat & Sabtu) |
Jun | 20.06.2025 | Jumaat | Hari Gawai – 1 & 2 Jun 2025 (Ahad & Isnin) Hari Raya Haji – 7 & 8 Jun 2025 (Sabtu & Ahad) |
Julai | 18.07.2025 | Jumaat | |
Ogos | 20.08.2025 | Rabu | |
September | 19.09.2025 | Jumaat | |
Oktober | 15.10.2025 | Rabu | Hari Deepavali – 20 Oktober 2025 (Isnin) |
November | 19.11.2025 | Rabu | |
Disember | 17.12.2025 | Rabu | Hari Krismas – 25 Disember 2025 (Khamis) |
Untuk maklumat rasmi, sila rujuk Surat Pekeliling JPA.800-1/6/3(36) yang telah dikeluarkan oleh JPA.

Semakan Penyata Bayaran Pencen 2025
Pesara kerajaan boleh menyemak penyata pencen setiap bulan untuk memastikan tiada sebarang kesilapan dalam pembayaran, menyemak potongan dalam slip pencen dan mengetahui maklumat terkini tentang status pencen pesara.
Ini boleh dilakukan menerusi dalam talian, di portal rasmi seperti di bawah:
- Portal rasmi JPA: Layari pautan ini: https://apps.jpapencen.gov.my/penyatabayaran dan masukkan maklumat seperti nombor kad pengenalan, nombor pencen dan tahun.
- Aplikasi MyPesara: Pesara perlu memuat naik aplikasi ini di telefon pintar.
Formula Mengira Bayaran Pencen 2025
Amaun pencen untuk tahun 2025 selepas pelarasan gaji akhir boleh dikira menggunakan formula seperti di bawah:
- Bagi tempoh perkhidmatan kurang 360 bulan, cara kiraannya seperti berikut:
- 1/600 x jumlah genap bulan perkhidmatan yang boleh dimasuk kira x Gaji Akhir Bersamaan (terbaharu)
- Sementara, bagi pesara dengan tempoh perkhidmatan genap 360 bulan atau lebih, cara kiraan adalah:
- 3/5 x Gaji Akhir Bersamaan (terbaharu)
Gaji Akhir Bersamaan merujuk kepada gaji akhir terkini yang dibuat pelarasan pada tahun 2012; ini khususnya bagi pesara yang telah bersara sebelum tahun 2012.
Bagi memudahkan gambaran kenaikan pencen yang anda bakal terima, gunakan kalkulator pencen dalam pautan portal rasmi JPA: https://www.jpapencen.gov.my/cetak_wajib.html.
Maklumat Lanjut
Soalan lazim mengenai bayaran pencen 2025 ataupun sebarang persoalan mengenai pencen boleh didapati di pautan ini: https://docs.jpa.gov.my/docs/sspa/faq_persaraan_dan_faedah_persaraan.pdf.