Semakan Penyata Pencen 2025 & Cetakan Secara Online untuk Pesara Kerajaan.
Bagi pesara kerajaan, penyata pencen adalah dokumen penting yang menunjukkan jumlah wang persaraan yang diterima setiap bulan.
Dengan adanya cetakan penyata pencen, pesara boleh memantau jumlah wang persaraan yang masuk setiap bulan.
Bahkan juga, mereka boleh mengetahui nilai bonus, imbuhan atau kenaikan pencen yang diberikan oleh kerajaan.
Semakan penyata pencen 2025 kini menjadi lebih mudah dengan adanya platform dalam talian yang ada di portal Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.
Dalam artikel ini, kami akan membincangkan cara-cara semakan penyata pencen 2025, terutamanya selepas pelaksanaan perubahan besar seperti kenaikan pencen melalui sistem SSPA yang baru.
Apa Itu Penyelarasan Pencen 2025?
Mulai Disember 2024, kerajaan Malaysia melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Ini bermakna terdapat penyelarasan baru pada jumlah pencen yang diterima oleh pesara kerajaan.
Penyelarasan kenaikan pencen SSPA ini bertujuan untuk meningkatkan kebajikan penjawat awam termasuk pesara dengan memberi kenaikan dalam jumlah pencen mereka.
Penyelarasan pencen 2025 penting untuk disemak oleh semua pesara untuk memastikan mereka menerima jumlah wang persaraan yang betul, termasuk dengan penambahan Pemberian Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi mereka yang bersara pada atau sebelum 31 Disember 2022.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Penyelarasan Kenaikan Pencen SSPA, boleh baca di sini.
Cara Semak Penyata Pencen 2025

Untuk menyemak penyata pencen 2025 selepas penyelarasan SSPA, pesara kini tidak perlu lagi berurusan dengan kaunter atau pejabat kerajaan.
Segalanya boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau aplikasi MyPesara.
Berikut adalah langkah-langkah mudah untuk menyemak penyata pencen secara online di portal JPA:
- Layari Portal Penyata Bayaran Pencen di pautan ini: https://apps.jpapencen.gov.my/penyatabayaran.
- Masukkan nombor kad pengenalan dan nombor akaun pencen.
- Pilih tahun semakan untuk menyemak penyata pencen terkini anda.
- Lengkapkan pengesahan captcha dengan tandakan [ / ] pada kotak Captcha.
- Klik Hantar.
- Skrin akan paparkan penyata pencen anda.
- Anda boleh pilih cetakan penyata pencen jika ingin mencetak.
- Selesai.
Melalui portal MyPesara atau aplikasi MyPesara:
- Muat turun aplikasi MyPesara dari App Store untuk pengguna iOS atau Google Play untuk pengguna Android.
- Log masuk menggunakan nombor kad pengenalan dan kata laluan yang telah didaftarkan.
- Pilih Penyata Pencen untuk melihat maklumat pencen anda.
Nota: Pastikan anda melakukan semakan beberapa hari selepas tarikh pembayaran untuk memastikan data anda telah dikemaskini.
Langkah-langkah terperinci untuk membuat semakan amaun pencen boleh rujuk dalam artikel ini: Pelarasan Pencen Pesara Kerajaan : Info Penting & Cara Kiraan.
Untuk membuat semakan amaun pencen terkini, anda boleh layari portal KWAP di pautan ini: https://portalmypesara.kwap.my/.

Formula Baru Pengiraan Pencen 2025
Apabila penyelarasan SSPA dilakukan, pesara boleh melihat perbezaan dalam jumlah wang persaraan yang diterima.
Sebagai panduan, berikut adalah formula pengiraan untuk pencen 2025 selepas penyelarasan SSPA:
Formula Pengiraan:
1/600 x Tempoh Perkhidmatan x Gaji Akhir Bersamaan 2024) + PKKP (jika layak) = Jumlah Pencen Baharu
Sebagai tambahan, jika tempoh perkhidmatan lebih daripada 30 tahun, kadar maksimum pencen adalah 60% daripada gaji akhir bersamaan 2024.
Cara pengiraan adalah:
3/5 x Gaji Akhir Bersamaan 2024; atau
60% x Gaji Akhir Bersamaan Tahun 2024.
Bagi pesara yang bersara sebelum atau pada 31 Disember 2022, mereka layak menerima PKKP untuk menambah jumlah pencen mereka.
Rujuk jadual pembayaran pencen pesara kerajaan tahun 2025 di sini.
Maklumat Lanjut
Jika anda menghadapi sebarang masalah atau memerlukan bantuan lanjut, sila hubungi talian bantuan KWAP di +603 8887 8777 atau e-mel kepada mypesara@kwap.gov.my.