Bermula 1 Disember 2024 lalu, terdapat perubahan gred SSPA atau Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang menggantikan sistem saraan sedia ada, Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Banyak kelebihan dan penambahbaikan yang diperkenalkan pada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam ini.
Dalam artikel ini, kami akan terangkan apa itu SSPA dan kelebihannya termasuk perubahan gred SSPA terbaru yang berlaku, serta kesan penjumudan skim perkhidmatan.
Latar Belakang SSPA
Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) adalah satu inisiatif untuk memperbaharui dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
Sistem baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan ini digunakan untuk menentukan kadar gaji dan struktur perkhidmatan penjawat awam di Malaysia.
Sistem ini bertujuan untuk memastikan keseimbangan dalam struktur saraan penjawat awam, yang sekali gus memberi penghargaan berdasarkan tanggungjawab dan tahap kelayakan mereka.
Bermula 1 Disember 2024 yang lalu, SSPA telah menggantikan Sistem Saraan Malaysia yang telah diguna pakai selama hampir 21 tahun.
Sistem saraan telah melalui beberapa kali perubahan yang bertujuan untuk memperbaiki kebajikan dan memberikan insentif yang lebih adil kepada penjawat awam semasa persaraan.
Pengenalan sistem saraan baru ini dirangka berteraskan kepada aspek prestasi.
Oleh itu, perubahan gred SSPA terbaharu ini adalah satu usaha kerajaan untuk menyelaraskan gaji dan peranan penjawat awam supaya lebih sesuai dengan tuntutan semasa.
Rujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan untuk mengetahui maklumat rasmi dan lebih terperinci mengenai SSPA.
Apa Itu Gred SSPA?
Sebelum pergi kepada perubahan gred yang berlaku dalam sistem saraan baharu ini, jom kita fahami dulu mengenai gred SSPA.
Gred SSPA merujuk kepada kategori atau kelas yang menentukan kadar gaji bagi penjawat awam berdasarkan peranan, tanggungjawab, dan kelayakan pendidikan mereka.
Setiap jawatan dalam sektor awam diberikan gred tertentu mengikut tahap kemahiran dan pengalaman mereka.
Setiap gred dalam sistem ini biasanya disertakan dengan kadar gaji asas yang berbeza.
Sebagai contoh, penjawat awam yang menduduki gred yang lebih tinggi akan menikmati gaji yang lebih tinggi, setimpal dengan beban kerja dan tanggungjawab yang lebih besar.
Dengan perubahan gred SSPA yang diumumkan baru-baru ini, penjawat awam dijangka dapat menikmati struktur gaji yang lebih kompetitif dan sesuai dengan pasaran.
Perubahan Gred SSPA
Perubahan gred SSPA bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan dan kesejahteraan penjawat awam, di samping menangani isu ketidaksamaan antara skim perkhidmatan di bawah SSM sebelum ini.
Antara perubahan yang berlaku dalam sistem saraan baharu ini adalah:
- Penyemakan semula gred kelayakan masuk bagi beberapa kategori jawatan.
- Penyesuaian kadar gaji di setiap gred.
- Penjumudan beberapa skim perkhidmatan.
Dengan perubahan gred dalam sistem saraan SSPA ini, jumlah keseluruhan skim perkhidmatan kini adalah 199โ berbanding 229 skim di bawah sistem saraan sebelum ini (SSM).
Perubahan Gred Kelayakan Masuk
Berikut kami kongsikan perubahan gred kelayakan masuk seperti yang dinyatakan dalam surat pekeliling SSPA.
- Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) :
- Gred SSM 19 dan 20 – Gred SSPA 1.
- Gred SSM 21, 22 dan 24 – Gred SSPA 2.
- Gred SSM 25 dan 26 – Gred SSPA 3.
- Gred SSM 27 dan 28 – Gred SSPA 4.
- Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Diploma:
- Gred SSM 29 dan 30 – Gred SSPA 5.
- Gred SSM 31 hingga Gred 36 – Gred SSPA 6.
- Gred SSM 36 hingga 38 – Gred SSPA 7.
- Gred SSM 39 dan 40 – Gred SSPA 8.
- Ijazah:
- Gred SSM 41 dan 42 – Gred SSPA 9.
- Gred SSM 43 dan 44 – Gred SSPA 10.
- Gred SSM 45 dan 46 – Gred SSPA 11.
- Gred SSM 47 dan 48 – Gred SSPA 12.
- Lain-lain:
- Gred SSM 51 dan 52 – Gred SSPA 13.
- Gred SSM 53 dan 54 – Gred SSPA 14.
- Gred SSM 55 dan 56 – Gred SSPA 15.
Senarai Penjumudan Skim Perkhidmatan
Dalam usaha menyusun semula dan menyelaraskan gred SSPA, beberapa skim perkhidmatan juga telah dijumudkan.
Penjumudan membawa maksud perkhidmatan yang tidak lagi diperlukan disebabkan perubahan fungsi perkhidmatan.
Ini bermakna beberapa skim perkhidmatan yang sebelum ini wujud dalam sektor awam telah digabungkan atau dihapuskan bagi tujuan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan perkhidmatan.
Perubahan gred dalam SSPA juga menyebabkan 22 perkhidmatan dalam SSM sebelum ini dijumudkan.
Penjumudan skim ini bertujuan untuk mengurangkan pembaziran sumber dan mempermudah proses pengurusan dalam sektor awam.
Antara senarai gred dan perkhidmatan yang dijumudkan adalah:
Skim Perkhidmatan | Gred Jawatan SSM |
Pemandu Lokomotif | A13, A19/20, A22, A26, A28 |
Jurusolek | B19, B21/22, B25/26, B27/28 |
Pensyarah UiTM | DM41, DM45/46, DM51/52, DM53/54, Khas |
Penolong Pensyarah UiTM | DM29, DM32, DM34, DM40 |
Pengurus Taman / Ladang | G41, G44, G48, G52, G54 |
Penolong Pengurus Taman / Ladang | G29, G32, G36, G40 |
Pembantu Taman / Ladang | G19, G22, G26, G28 |
Merinyu Tali Air | J19, J22, J26, J28 |
Pegawai Penyelidik Sosial | N41, N44, N48, N52, N54 |
Penolong Pegawai Penyelidik Sosial | N29, N32, N36, N40 |
Pembantu Penyelidik Sosial | N19, N22, N26, N28 |
Pengurus Asrama | N41, N44, N48, N52, N54 |
Penolong Pengurus Asrama | N29, N32, N36, N40 |
Penyelia Asrama | N19, N22, N26, N28 |
Pegawai Penerbitan | N41, N44, N48, N52, N54 |
Penolong Pegawai Penerbitan | N29, N32, N36, N40 |
Pembantu Penerbitan | N19, N22, N26, N28 |
Pegawai Khidmat Pelanggan | N19, N22, N26, N28 |
Operator Wayarles | N19, N22, N26, N28 |
Pemeriksa Cap Jari | N19, N22, N26, N28 |
Pembantu Pemuliharaan | S19, S22, S26, S28 |
Pegawai Kewangan | W41, W44, W48, W52, W54 |
Pegawai yang terlibat dengan penjumudan skim perkhidmatan akan ditawarkan opsyen pertukaran pelantikan ke skim perkhidmatan yang berkuat kuasa di bawah SSPA.
Anda boleh rujuk Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) untuk maklumat lebih terperinci.
Kesimpulan
Perubahan gred dalam sistem saraan baharu, SSPA adalah satu langkah penting dalam memperbaiki sistem perkhidmatan awam di Malaysia.
Dengan perubahan gred SSPA yang melibatkan penyemakan semula kelayakan masuk, penyelarasan gaji, serta penjumudan skim perkhidmatan, penjawat awam kini mempunyai peluang yang lebih baik untuk membangunkan kerjaya mereka.
Maklumat lebih lanjut mengenai SSPA boleh didapati di portal rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).