Terkini: Semakan panggilan kemasukan pelatih ke Program Latihan Khidmat Negara PLKN 3.0 Siri 2 tahun 2025 boleh dibuat bermula 22 April 2025. Peserta PLKN 3.0 yang terpilih diwajibkan hadir menjalani Program Latihan Khidmat Negara, atau perlu memohon penangguhan beserta alasan yang munasabah.
Setelah beberapa tahun siri Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN ditangguhkan, kini kerajaan bersetuju untuk melaksanakan semula program ini dengan melakukan beberapa pembaharuan.
Apakah pembaharuan untuk PLKN tahun 2025 ini?
Jom ketahuinya dalam artikel ini.
Apa Itu Program Latihan Khidmat Negara?
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah salah satu inisiatif kerajaan Malaysia yang bertujuan untuk melatih dan memupuk semangat kenegaraan, nilai jati diri, disiplin, serta kemahiran dalam kalangan golongan muda.
Pada 16 Februari 2004, siri pertama PLKN dilancarkan dengan penyertaan oleh 26,000 remaja.
Sejak pertama kali dilaksanakan, PLKN telah mengalami beberapa perubahan bagi menambah baik program ini agar lebih relevan dengan keperluan semasa.
Kemudian, PLKN telah dimansuhkan pada tahun 2018.
Setelah hampir tujuh tahun semenjak dimansuhkan, Program PLKN 3.0 kembali semula tahun ini dengan pelaksanaan konsep dan format baharu.
Pelaksanaan PLKN 3.0 2025
Pada mesyuarat 27 Jun 2024 tahun lepas, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan semula PLKN pada tahun 2025 dengan konsep dan format baharu.
Program Latihan Khimat Negara 3.0 dibuka kepada peserta yang berumur antara 17 hingga 35 tahun, dengan memfokuskan kepada pembangunan modal insan melalui pelbagai elemen latihan fizikal, mental, dan kerohanian.
Program ini melibatkan empat fasa iaitu:
- Fasa Pra PLKN.
- Fasa Latihan Asas.
- Projek Rintis.
- Fasa Latihan Asas di IPTA.
Ia turut memberi peluang kepada peserta untuk belajar kemahiran asas dalam pelbagai bidang yang dapat membantu mereka dalam kehidupan seharian dan kerjaya masa depan.
Program ini akan dijalankan dengan lebih teliti dan teratur, dengan memberi penekanan kepada nilai-nilai kebangsaan dan kesatuan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Program kali ini juga akan menggunakan kombinasi modul latihan asas ketenteraan sebanyak 30 peratus, dan 70 peratus lagi, modul asas kenegaraan.
Untuk tahun 2025 ini, pelaksanaan PLKN 3.0 akan dibuat di 13 kem tentera (askar wataniah) serta 20 universiti awam dan politeknik.
Bezanya kali ini, latihan akan dijalankan selama kira-kira 45 hari, tempoh yang lebih singkat berbanding siri-siri terdahulu.
Dengan penekanan kepada pembangunan kemahiran dan pengurusan diri, PLKN 3.0 diharapkan dapat menghasilkan belia yang lebih berdikari, bertanggungjawab, dan mempunyai kesedaran nasional yang tinggi.
Semakan Syarat Kelayakan Peserta PLKN 3.0
Untuk menyertai PLKN 3.0, terdapat beberapa syarat kelayakan yang perlu dipenuhi oleh bakal peserta.
Syarat-syaratnya adalah:
- Pelatih mestilah warganegara Malaysia.
- PLKN 3.0 umur antara 17 tahun hingga 35 tahun (tertakluk kepada ketetapan di dalam proklamasi).
- Sihat fizikal dan mental.
- Belum pernah menyertai PLKN untuk siri-siri sebelum ini.
PLKN 3.0 Semak Tarikh Pelaksanaan, Tempoh & Lokasi
PLKN 3.0 2025 akan dijalankan di pusat-pusat latihan terpilih yang telah disahkan oleh pihak berkuasa.
Lokasi pusat latihan ini meliputi seluruh negara, dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kemudahan infrastruktur.
Tarikh pelaksanaan bagi PLKN 3.0 adalah bermula pada bulan Januari 2025, dan tempoh latihan akan berlangsung selama 45 hari.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program latihan rintis ini bermula 12 Januari 2025 dengan penglibatan kira-kira 500 peserta di kem tentera Kuala Lumpur dan Pahang.
Menurutnya, program latihan akan diperluaskan ke 13 kem di seluruh negara menerusi pelaksanaan penuh pada 2026.
Peserta akan diberi latihan intensif sepanjang tempoh tersebut, yang merangkumi sesi dalam kelas, latihan luar, serta kemahiran praktikal.
Aktiviti-aktiviti tersebut dirancang untuk membentuk perwatakan dan kepimpinan yang kuat dalam diri peserta, di samping memupuk semangat kerjasama antara golongan muda.
TERKINI: PLKN 3.0 Siri 2 (11 Mei – 24 Jun 2025)
Semakan kemasukan pelatih ke PLKN 3.0 Siri 2 bagi tahun 2025 boleh dibuat mulai semalam, 22 April 2025, menerusi laman web rasmi Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) di https://jlkn.mod.gov.my.
Seramai 550 pelatih dijangka mengikuti latihan selama 45 hari bermula 11 Mei hingga 24 Jun 2025 di Kem Rejimen 515, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505, Pekan.
Program ini merangkumi 70% Latihan Asas Ketenteraan dan 30% Komponen Kenegaraan yang menekankan aspek jati diri, patriotisme dan perpaduan.
PLKN 3.0 diperkenalkan semula bagi melahirkan belia yang berdisiplin, berdaya saing serta memiliki semangat kenegaraan tinggi.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada JLKN di talian 03-40133613 / 03-40133618 atau emel ke info.jlkn@mod.gov.my.
Permohonan Pelatih PLKN 2025
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai PLKN 3.0 2025, permohonan dibuat secara sukarela.
Prosesnya juga adalah mudah dan boleh dilakukan secara dalam talian.
Bakal peserta perlu mengakses portal rasmi PLKN di pautan ini: https://www.mod.gov.my/index.php/maklumat/plkn-3-0 dan lengkapkan borang permohonan yang disediakan.
Proses ini memerlukan maklumat peribadi serta dokumen sokongan seperti kad pengenalan dan rekod kesihatan.
Pendaftaran akan dibuka beberapa bulan sebelum tarikh pelaksanaan, dan calon yang terpilih akan diberitahu melalui sistem notifikasi yang dihantar ke alamat e-mel atau telefon bimbit mereka.
Mereka juga boleh mengikuti perkembangan semasa program PLKN 3.0 melalui media sosial atau laman web rasmi.
Berikut merupakan tiga siri yang dirancang untuk dijalankan sepanjang tahun ini.
Siri 1
- Lokasi: Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.
- Tarikh: 12 Januari 2025 hingga 25 Februari 2025.
Siri 2
- Lokasi: Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang.
- Tarikh: 11 Mei 2025 hingga 24 Jun 2025.
Siri 3
- Lokasi: Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang.
- Tarikh: 7 September 2025 hingga 21 Oktober 2025.
Semakan Status Permohonan Program PLKN
Bagi calon yang telah membuat permohonan, mereka akan dihubungi melalui e-mel yang telah didaftarkan semasa mengisi borang permohonan.
Peserta yang lulus akan menerima surat panggilan rasmi dan diberikan arahan lanjut berkenaan dengan tarikh dan lokasi latihan yang telah ditetapkan.
Untuk memastikan proses ini berjalan lancar, adalah penting bagi calon untuk memastikan maklumat yang diberikan adalah tepat dan terkini.
Kepada yang gagal dan tidak menerima e-mel panggilan, anda masih berpeluang untuk dipanggil pada siri PLKN yang akan datang, selagi umur anda belum mencapai 35 tahun.
Baca juga:
Rukun Negara Malaysia: Fahami Makna 5 Prinsip Rukun Negara.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut mengenai PLKN 3.0, bakal peserta boleh melayari laman web rasmi Program Latihan Khidmat Negara atau facebook rasmi Kementerian Pertahanan Malaysia untuk sebarang pertanyaan.
Sebarang pertanyaan mengenai permohonan atau semakan PLKN, anda boleh menghubungi talian berikut : 03-4012 7306 / 03-4012 6151 / 03-4012 6538.
Pastikan anda mendaftar lebih awal dan memenuhi semua syarat kelayakan untuk memberi peluang terbaik kepada diri sendiri dalam program ini.
Jangan lepaskan peluang untuk menyertai PLKN 3.0!
Daftar segera dan jadilah sebahagian daripada belia Malaysia yang berkualiti dan berwawasan.