🛍️ Voucher Shopee CNY! 🧧
CNY2025
Claim All!
*Terms and conditions apply. Valid until 31 Jan 2025

SARA 2025: Semakan Permohonan Sumbangan Asas Rahmah

TERKINI! Semakan SARA 2025 boleh dilakukan sekarang! Kerajaan akan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah bermula 15 Januari 2025 (Rabu).

Selain bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk golongan berkelayakan, pemberian Sumbangan Asas Rahmah SARA 2025 juga sudah pasti ditunggu-tunggu. 

Apatah lagi, dengan adanya penambahbaikan dan peningkatan peruntukan untuk kedua-dua bantuan ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 lalu. 

Tentunya, inisiatif ini memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang berkelayakan, sekali gus membantu meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Bagi membolehkan lebih ramai rakyat berpendapatan rendah B40 dan sederhana rendah M40 yang layak menerima bantuan kerajaan ini, kami kongsikan cara permohonan SARA 2025 dan kemaskini MyKasih SARA. 

MyKasih 2025/ Sumbangan Asas Rahmah SARA 2025

Sumbangan Asas Rahmah atau SARA adalah bantuan tambahan yang diperkenalkan oleh kerajaan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah. 

Bezanya, untuk Sumbangan Tunai Rahmah atau STR, penerima akan diberikan bantuan berbentuk tunai. 

Sementara, bantuan Sumbangan Asas Rahmah ini boleh diberikan dalam bentuk wang tunai atau baucar untuk kegunaan pembelian barangan asas, seperti makanan dan keperluan harian.

SARA merupakan bantuan subsidi bersasar yang diberikan kepada golongan rentan yang paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup. 

Justeru itu, kerajaan melakukan penambahbaikan dalam bantuan STR 2025 dan SARA 2025 dengan meningkatkan peruntukan daripada RM10 bilion tahun 2024, kepada RM13 bilion pada 2025. 

Penambahbaikan ini memberi manfaat kepada 9 juta penerima yang terdiri daripada golongan B40 dan M40 yang berkelayakan, atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara. 

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju meningkatkan bantuan STR 2025 sebanyak 4.1 juta penerima bagi kategori isi rumah, berbanding 700,000 penerima tahun 2024. 

Sementara kategori bujang akan menerima STR bernilai RM600 tahun 2025, berbanding RM500 pada 2024. 

Penerima ini juga akan mendapat bantuan SARA 2025 sebanyak RM100 sebulan, yang akan disalurkan ke dalam MyKad mereka mulai bulan April 2025. 

Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli keperluan barangan asas seperti makanan, minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan dan kebersihan diri melalui program MyKasih 2025. 

Ia sah digunakan di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

Sumber: Bernama

Permohonan SARA 2025

Tiada permohonan diperlukan untuk Sumbangan Asas Rahmah 2025. 

Namun, bagi melayakkan anda menerima bantuan ini, anda perlu memohon bantuan STR dan mendaftar di sistem eKasih bagi golongan miskin. 

Lihat panduan memohon STR di sini

Penerima STR 2025 secara automatik akan turut menerima bantuan SARA 2025. 

Jadi, anda tidak perlu membuat permohonan tambahan. 

Pendaftaran eKasih

Jika anda ingin mendaftar eKasih, ikuti langkah-langkah untuk pendaftaran seperti di bawah: 

  1. Sila layari portal rasmi eKasih: https://ekasih.icu.gov.my/Pages/Default.aspx
  2. Skrol ke bawah dan klik butang Pendaftaran eKasih.
  3. Baca dengan teliti paparan Butiran Proses Kerja Permohonan Isi Rumah untuk Didaftarkan ke dalam Sistem eKasih.
  4. Anda perlu menghubungi atau pergi Pejabat Pembangunan Negeri (PPN)/ Pejabat Daerah yang berhampiran untuk membuat pendaftaran.
  5. Jika anda telah berdaftar dengan PPN, buat semakan dalam talian di sini: https://ekasih.icu.gov.my/ekasih/Semakan/Pages/CarianAwam.aspx
sara 2025

Syarat Kelayakan SARA 2025

Penerima SARA 2025 perlu mempunyai kriteria di bawah:

  • Warganegara Malaysia.
  • Lulus dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 bagi kategori Isi rumah, Warga Emas Tiada Pasangan dan Bujang.
  • Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar/ Miskin eKasih dalam rekod data eKasih di bawah Jabatan Perdana Menteri sehingga 31 Oktober 2023. 

Semakan Sumbangan Asas Rahmah 2025

Bantuan SARA 2025 mula diagihkan pada 15 Januari 2025 menerusi MyKad penerima.

Bantuan ini akan disedarkan secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.

Untuk mengetahui sekiranya anda layak menerima bantuan SARA tahun ini, sila buat semakan kelayakan Sumbangan Asas Rahmah 2025 seperti berikut:

i. Semakan Dalam Talian

  • Semakan status SARA boleh dibuat di portal rasmi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), https://bantuantunai.hasil.gov.my.
  • Log masuk nombor kad pengenalan pemohon dan pengesahan frasa keselamatan.
  • Pastikan maklumat yang tertera adalah betul.
  • Masukkan kata laluan.
  • Klik pada bahagian Semakan Permohonan.
  • Jika status LULUS, skrin akan memaparkan jumlah bayaran.
  • Sebaliknya, jika status TIDAK LAYAK, tiada rekod akan dipaparkan.

Semakan juga boleh dibuat melalui portal rasmi MyKasih di pautan ini: https://app.mykasih.net/sara2/checkstatus.

Bagaimana Ingin Menggunakan Bantuan SARA 2025?

Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima. 

Jadi, penerima yang layak boleh membelanjakan wang/ baucar tersebut dengan menggunakan MyKad di pasar raya dan kedai runcit yang berdaftar. 

Penerima STR Semenanjung Malaysia bagi kategori Isi Rumah akan menerima wang bantuan SARA 2025 sebanyak RM100 setiap bulan selama 12 bulan, sementara kategori Warga Emas dan Bujang akan menerima RM600 (per 12 bulan).

Sementara itu, bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan, bantuan SARA akan disalurkan dua kali setahun. 

Tarikh Bayaran SARA 2025

Bantuan Sumbangan Asas Rahmah 2025 akan diagihkan secara berperingkat bermula April 2025.

Tarikh bayaran akan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa di media rasmi.

Barangan Yang Boleh Dibeli Dalam Bantuan SARA

Bantuan SARA 2025 yang dikreditkan ke dalam MyKad boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas daripada 13 kategori produk yang diluluskan, seperti: 

  • Beras.
  • Roti.
  • Telur.
  • Minyak masak.
  • Tepung.
  • Biskut.
  • Mi segera.
  • Minuman.
  • Makanan dalam tin.
  • Bahan perasa.
  • Produk kebersihan.
  • Ubat-ubatan.
  • Barangan persekolahan.

Jangan risau! Barangan keperluan asas yang terlibat dengan program SARA akan dilabel untuk rujukan penerima. 

senarai barangan sara 2025

Cara Pembelian

Untuk menggunakan wang bantuan Sumbangan Asas Rahmah yang dikreditkan ke MyKad penerima, ini cara-cara untuk anda berbelanja:

  1. Simpan resit untuk semakan transaksi pembelian. 
  2. Pilih barangan keperluan daripada 13 kategori produk yang diluluskan.
  3. Tunjuk MyKad kepada juruwang untuk pengesahan. Semakan akan dibuat untuk memeriksa status penerima. 
  4. Bayar menggunakan MyKad.

Senarai Pasar Raya & Kedai Runcit SARA 2025

Sila rujuk senarai pasar raya dan kedai runcit di setiap negeri yang berdaftar di bawah Program Sumbangan Asas Rahmah dalam pautan ini: https://app.mykasih.net/sara2/merchant-list.

Bagi memudahkan anda untuk mengetahui pasar raya dan kedai runcit yang berdaftar, sila muat naik aplikasi myKasih di telefon pintar anda.

Maklumat Lanjut

Pemohon STR dan SARA boleh merujuk Soalan Lazim di portal MyKasih, https://mykasih.com.my/ atau portal rasmi STR, https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi maklumat lanjut.

Maklumat terperinci dan terkini mengenai Sumbangan Asas Rahmah SARA 2024 boleh didapati di pautan di bawah:

Rujukan: eCentral.my

Leave a Comment