Ingin membuat permohonan dan semakan bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat)?
Ikut panduan yang kami sediakan di bawah ini.
Mudah sahaja! Boleh mohon secara dalam talian ataupun pergi ke pejabat Kebajikan Masyarakat daerah yang berdekatan anda.
Teruskan membaca untuk tahu langkah demi langkah membuat semakan bantuan JKM agar nama anda tidak tercicir daripada mendapat bantuan ini.
Jabatan Kebajikan Masyarakat
Jabatan Kebajikan Masyarakat atau JKM merupakan sebuah agensi kerajaan di Malaysia yang bertanggungjawab untuk menguruskan dan menyediakan kesejahteraan sosial serta kebajikan masyarakat.
JKM berperanan untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan, seperti bayi dan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, serta keluarga miskin.
Selain itu, perkhidmatan turut disediakan buat mereka yang terjejas akibat bencana alam atau masalah sosial.
Bagi membantu meringankan beban kos sara hidup golongan-golongan yang memerlukan, JKM turut menyediakan khidmat bantuan kewangan kepada kumpulan sasar.
Jenis Bantuan JKM
JKM menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada individu dan keluarga yang memerlukan, terutama bagi golongan yang kurang bernasib baik, terpinggir, atau yang menghadapi masalah sosial.
Berikut adalah beberapa jenis bantuan yang ditawarkan oleh JKM:
- Bantuan Kewangan – Diberikan kepada kanak-kanak daripada golongan tertentu bawah 18 tahun, warga emas, golongan kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal yang memerlukan sokongan kewangan.
- Bantuan khas – Bantuan Sementara dan Kecemasan diberikan kepada individu / keluarga yang mengalami keadaan kecemasan atau kesulitan sementara, seperti bencana atau kemalangan besar.
- Bantuan Perlindungan – Diberikan kepada mangsa penderaan. JKM turut menyediakan pusat perlindungan kanak-kanak.
Maklumat lebih lanjut tentang bantuan-bantuan yang disediakan dan kadar bayaran untuk setiap bantuan boleh didapati di portal rasmi JKM.
Nota: RISDA turut menyediakan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang diberikan setiap tahun kepada pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas sepanjang musim tengkujuh.
Permohonan Online eBantuan JKM
Mereka yang ingin memohon bantuan JKM lazimnya perlu hadir ke pejabat JKM di setiap daerah atau negeri yang terdekat.
Berita baiknya, kini proses permohonan dan semakan bantuan JKM telah dipermudahkan, iaitu melalui platform dalam talian.
eBantuanJKM adalah sebuah platform online yang disediakan untuk golongan yang memerlukan, membuat permohonan dan menyemak status bantuan JKM.
Dalam artikel ini, kami akan menunjukkan anda langkah demi langkah untuk membuat semakan bantuan JKM, eBantuanJKM dengan terperinci.
Cara Permohonan
Permohonan dalam talian untuk eBantuanJKM boleh dibuat mengikut cara ini:
- Sila layari portal rasmi eBantuanJKM di https://ebantuanjkm.jkm.gov.my.
- Klik butang Daftar Permohonan Atas Talian.
- Anda akan dibawa ke paparan seperti di bawah. Baca dan siapkan senarai dokumen yang diminta.
- Klik butang Daftar Permohonan.
- Anda akan dibawa ke paparan Daftar Permohonan Baru (seperti di bawah). Lengkapkan maklumat yang diminta.
- Kemudian, klik butang Daftar.
Nota: Selepas pendaftaran online, pastikan anda hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah yang dipohon dalam tempoh 14 hari dari permohonan dibuat di atas talian.
Jika anda tidak hadir dalam tempoh ditetapkan, permohonan akan terbatal.


Dokumen Yang Perlu Dibawa
- Salinan Kad Pengenalan Pemohon (depan dan belakang).
- Salinan Kad Pengenalan / Sijil Kelahiran ahli keluarga yang tinggal bersama.
- Salinan Kad OKU/ slip pendaftaran sementara OKU (jika kategori OKU).
- Salinan penyata pendapatan dari majikan / surat akuan pendapatan (jika bekerja sendiri).
- Salinan sijil kematian / penceraian (jika berkaitan).
- Salah satu salinan bil utiliti (air / elektik / telefon / astro) untuk pengesahan alamat.
- Laporan pegawai perubatan dari hospital / klinik dan sebut harga barang (bagi permohonan bantuan alat tiruan/ sokongan).
*Sila bawa dokumen di atas semasa hadir ke pejabat Kebajikan Masyarakat daerah.
Semakan Bantuan JKM

Anda yang ingin membuat semakan bantuan JKM boleh mengikut langkah-langkah berikut:
- Layari portal rasmi eBantuanJKM di https://ebantuanjkm.jkm.gov.my.
- Klik pada butang Semakan Status Permohonan Talian.
- Masukkan nombor kad pengenalan (seperti gambar di bawah).
- Klik butang Semak.
- Senarai hanya akan memaparkan status bantuan yang telah dipohon atau sedang diterima.
- Selesai Semakan Bantuan JKM.

Kesimpulan
JKM merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) dan mempunyai pejabat-pejabat di setiap negeri serta daerah di Malaysia.
Secara keseluruhan, JKM memainkan peranan yang sangat penting dalam membina masyarakat yang saksama, serta memastikan hak dan kebajikan setiap individu dapat dijaga dengan baik.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, anda boleh hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui:
- Laman web rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat.
- Nombor Telefon: 03-8000 8000.
- Faks: 03-8323 2045.
Anda juga boleh hadir ke pejabat Kebajikan Masyarakat daerah anda.
Bantuan kewangan lain yang disediakan kerajaan adalah seperti bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), MyKasih dan eKasih.