Permohonan Bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SUKUR) untuk fasa kedua boleh dibuat di portal PADANS.
Berita baik kepada rakyat negeri Sabah! Kerajaan telah mula mengagihkan bantuan fasa pertama Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah atau SUKUR Sabah bermula 19 Februari 2025.
Bagi yang tidak berjaya, terlepas atau tidak sempat memohon bantuan SYUKUR ini, jangan bimbang kerana anda masih berpeluang untuk membuat permohonan bagi fasa kedua dan seterusnya.
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan cara permohonan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah dan semakan permohonan.
Jom teruskan membaca artikel ini.
Pengenalan SYUKUR / SUKUR SABAH
Bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah, juga dikenali sebagai Program SUKUR Sabah, merupakan satu inisiatif kerajaan Sabah untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini.
Dalam usaha menangani masalah kemiskinan yang masih wujud, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah, program ini bertujuan memberikan bantuan kewangan secara berterusan.
Bantuan ini turut memberikan sokongan yang sangat diperlukan oleh rakyat Sabah yang termasuk dalam golongan B40, terutamanya semasa musim perayaan ini.
Bantuan ini akan diberikan secara berperingkat sebanyak empat fasa.
Bantuan fasa pertama telah pun diagihkan dengan disasarkan dapat memberi manfaat kepada 100,000 orang penerima.
Siapa Yang Layak Memohon Bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah?
Untuk memohon bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah 2025, beberapa syarat kelayakan harus dipenuhi oleh pemohon.
Antara syarat utama adalah:
- Individu berumur 18 tahun ke atas yang merupakan warganegara Malaysia dan bermastautin di Sabah sekurang-kurangnya setahun, dan kad pengenalan berstatus H.
- Ketua Isi Rumah (KIR) yang berstatus miskin atau miskin tegar dalam pangkalan data eKasih atau Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) setakat 31 Disember 2024.
- Pendapatan ketua isi rumah rendah, dengan kadar tertentu yang ditetapkan oleh kerajaan Sabah.
Bantuan ini tidak hanya terbuka kepada individu, tetapi juga kepada ketua isi rumah yang memenuhi syarat tersebut.
Mereka yang layak akan diberikan bantuan kewangan secara tetap sepanjang tahun 2025.
Kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) isi rumah yang ditetapkan oleh kerajaan Sabah merujuk kepada isi rumah yang memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM2,742, dengan nilai per kapita sebanyak RM671 setiap individu.
Sementara itu, kategori miskin tegar ditakrifkan sebagai isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan di bawah RM1,218, dengan nilai per kapita RM288 untuk setiap individu.
Kadar Bantuan
Bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah 2025 menawarkan bantuan kewangan sebanyak RM300 sebulan atau RM3600 setahun kepada penerima yang layak.
Bantuan ini akan diagihkan dalam empat fasa sepanjang tahun 2025:
- Fasa 1: Januari hingga Mac – RM900
- Fasa 2: April hingga Jun – RM900
- Fasa 3: Julai hingga September – RM900
- Fasa 4: Oktober hingga Disember – RM900
Bantuan ini akan membantu meringankan beban kewangan penerima, terutamanya golongan yang terkesan akibat situasi ekonomi yang mencabar.
Cara Permohonan Bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah

Untuk memohon bantuan ini, calon penerima perlu mengikuti beberapa langkah mudah.
Untuk permohonan tahun 2025, ia boleh dilakukan secara manual melalui Pejabat Daerah atau UPPM (Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat) daerah masing-masing.
Namun permohonan secara manual telah pun ditutup pada 31 Januari 2025.
Walau bagaimanapun, bagi pemohon yang telah membuat permohonan sebelum ini dan ingin mengemas kini maklumat, anda boleh melakukannya dalam sistem PADANS.
Begitu juga dengan pemohon yang ingin membuat pendaftaran atau permohonan baru SUKUR Sabah.
Anda boleh melakukan secara online di sistem PADANS Sabah.
PADANS atau Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah boleh dilayari di pautan ini: https://padans.sabah.gov.my/.
Selepas melayari pautan di atas, ikut langkah-langkah di bawah:
- Masukkan no kad pengenalan dan kata laluan pemohon serta klik butang Log Masuk.
- Sekiranya ingin mendaftar untuk program ini, pilih pilihan Borang Permohonan di menu sebelah kanan dan lengkapkan maklumat yang diperlukan.
- Pastikan untuk mengisi semua ruangan yang bertanda (*), yang terdiri daripada:
- Ketua Isi Rumah
- Ahli Isi Rumah
- Indikator
- Pengesahan
Setelah semua maklumat dihantar, pemohon akan menerima notifikasi bagi pengesahan maklumat peribadi mereka.
Bagi pemohon yang tercicir (tidak melalui eKasih) dan telah disahkan lulus, bayaran bantuan akan dimulakan pada Fasa 2 (Mei 2025), dengan jumlah RM900 untuk Fasa 2, Fasa 3, dan Fasa 4.
Oleh itu, tiada bayaran tunggakan bagi Fasa 1.
Baca artikel ini: PADANS Sabah : Sistem Pangkalan Data Untuk Mohon PSKR untuk mengetahui cara mendaftar PADANS Sabah dan log masuk.
Tarikh Bayaran Sentuhan Kasih Rakyat Sabah
Bantuan akan disalurkan secara berperingkat dan dalam bentuk pakej mulai fasa pertama, 19 Februari 2025.
Berikut adalah tarikh pembayaran Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah:
- Fasa 1: Bermula 19 Februari 2025
- Fasa 2: Dijangka bermula April 2025
- Fasa 3: Bermula Ogos 2025
- Fasa 4: Bermula Oktober 2025
*Kami akan mengemas kini tarikh bayaran untuk setiap fasa dari semasa ke semasa.
Pemohon yang layak akan menerima bantuan secara tunai atau melalui akaun bank yang didaftarkan.
Bagi penerima yang tiada akaun bank dan menerima bayaran secara tunai, pengagihan akan sedikit lewat.
Rujuk maklumat di bawah:
Fasa 1 (Januari-Mac 2025)
- Penerima yang mempunyai akaun bank: Bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank bermula 19 Februari 2025.
- Bayaran tunai (tiada akaun bank): Bayaran akan diagihkan secara berperingkat mulai 19 Februari 2025 hingga Mac 2025.
Fasa 2 (April-Jun 2025)
- Penerima yang mempunyai akaun bank: Bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank bermula April 2025.
- Bayaran tunai (tiada akaun bank): Bayaran akan diagihkan secara berperingkat mulai April 2025 hingga Mei 2025.
Fasa 3 (Julai-September 2025)
- Penerima yang mempunyai akaun bank: Bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank bermula Ogos 2025.
- Bayaran tunai (tiada akaun bank): Bayaran akan diagihkan secara berperingkat mulai Ogos 2025 hingga September 2025.
Fasa 4 (Oktober-Disember 2025)
- Penerima yang mempunyai akaun bank: Bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank bermula Oktober 2025.
- Bayaran tunai (tiada akaun bank): Bayaran akan diagihkan secara berperingkat mulai November 2025 hingga Disember 2025.
Kaedah Pembayaran Dan Semakan Status
Bantuan akan disalurkan mengikut kaedah yang telah ditetapkan, sama ada melalui akaun bank atau secara tunai di lokasi yang ditetapkan.
Penerima boleh menyemak status permohonan mereka dengan mudah melalui laman web https://sukur.sabah.gov.my/.
Dengan memasukkan nombor MyKad, pemohon akan mengetahui sama ada permohonan mereka layak atau tidak.
Selain itu, penerima juga boleh menggunakan aplikasi YONO Superapp untuk menyemak status atau mendapatkan maklumat terkini mengenai program ini.
Aplikasi ini memudahkan urusan kewangan secara digital dan merupakan salah satu langkah untuk mempermudah proses bantuan Sabah Prihatin.
Kesimpulan
Bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SUKUR) adalah inisiatif kerajaan yang sangat penting dalam membantu golongan miskin dan miskin tegar di Sabah.
Dengan bantuan kewangan yang disalurkan secara berfasa, ia dapat memberikan sokongan yang sangat diperlukan oleh mereka, terutamanya pada waktu-waktu yang mencabar.
Bagi anda yang layak, pastikan untuk membuat permohonan atau kemas kini maklumat di Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS).
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau memerlukan maklumat lanjut, sila hubungi Hotline Program Sentuhan Kasih Rakyat Negeri Sabah di talian 088 338 338 atau melalui WhatsApp di 010-5828207.